Ustaz Abu Syafiq Mengaku Tidak Bersalah Dan Tidak Pernah Melakukan Perkara Negatif Pada Ebit Lew Dan Dr Zul. Kini Abu Syafiq Mengambil Tindakan Sewajarnya.


Pendakwah sensasi, Ustaz Abu Syafiq menafikan dakwaan pihak tidak bertanggungjawab yang mengaitkan dirinya dengan pendakwah bebas terkenal Ustaz Ebit Lew dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Menerusi sekeping surat akuan berkanun, Abu menyatakan dia tidak pernah melakukan apa-apa perkara negatif ke atas Zulkifli.

Malah tegas Abu, dia tidak mengkritik kerja amal baik yang dilakukan oleh Ebit. “Saya lakukan Akuan Bersumpah ini kerana terdapat beberapa pihak yang menggunakan akaun palsu serta pihak yang tidak bertanggung jawab terus mengkritik saya. Pengkritik itu telah mengatakan saya kononnya saya mengkritik kerja amal Ustaz Ebit Lew dan mengata sesuatu yang tidak baik pada beliau serta Menteri Agama. Wallahi demi Allah itu adalah perkara yang berat. Saya tidak pernah kritik kerja amal Ustaz Ebit Lew dan tidak pernah berkata buruk beliau dan Menteri Agama. Itu adalah kritikan dari orang lain ke atas saya sahaja,” dedahnya.

Tambah Abu, laporan polis serta aduan ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah dibuat ke atas individu yang cuba menjatuhkan reputasi dirinya.

“Saya sudah buat laporan polis, aduan ke SKMM, tindakan saman mahkamah ke atas beberapa pihak yang saya kenali namun akaun yang palsu serta laman yang tidak dikenali saya belum dapat membuat tindakan dalam kadar segera sedangkan perkara ini berluas-luasan. Semoga Allah membalas para penfitnah dengan balasan segera dan setimpal,” tulisnya lagi.

Sumber via sinarviral