'Terus cekal, tabah, berdisiplin hadapi COVID-19'
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia perlu terus cekal, tabah dan berdisiplin menghadapi penularan COVID-19, yang dijangka berterusan untuk tempoh masa yang panjang, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri menegaskan, pengabaian amalan normal baharu berisiko melonjakkan jangkitan COVID-19 dan memaksa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula, sekali gus bakal memberi impak buruk kepada negara dan kehidupan rakyat Malaysia.
"Ingatkan diri kita supaya terus membudayakan amalan normal baharu kehidupan. Selain tindakan diambil kerajaan, amalan normal baharu kehidupan oleh saudara dan saudari sekalian adalah faktor penting dalam usaha kita memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
"Oleh itu, berhati-hatilah. Lindungi diri, keluarga dan orang di sekeliling anda. Sama-samalah kita berdoa semoga segala usaha yang kita lakukan dalam memerangi COVID-19 akan berjaya," katanya dalam perutusan khas berkenaan situasi semasa COVID-19 yang disiarkan secara langsung, malam ini.
