Kerajaan PN akan lebih sensitif, responsif suara NGO Islam - PM
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan lebih sensitif dan responsif terhadap suara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata, beliau percaya bahawa ruang yang diwujudkan, sama ada melalui platform disediakan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mahupun saluran komunikasi langsung oleh kerajaan, akan dimanfaatkan sepenuhnya masyarakat Islam di negara ini dalam memperkasakan usaha dakwah dan pembangunan ummah.
Katanya, beliau melihat YADIM sebagai institusi dakwah yang berperanan amat penting, bukan sekadar menyemarakkan ilmu dalam kalangan umat Islam di negara ini, malah melaksanakan tugas dakwah secara berhikmah menerusi pelaksanaan aktiviti pendidikan, latihan dan khidmat santun masyarakat (outreach).
Justeru, beliau berharap YADIM dapat menggerakkan semula Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) yang ditubuhkan bawah NGO itu pada 2009, supaya boleh membantu kerajaan memperkasakan bersama usaha dakwah dan tarbiah di negara ini.
"Selain itu, majlis ini juga wajar berperanan sebagai pemangkin perpaduan dan penyatuan ummah. Umat Islam mesti bersatu padu tanpa mengira perbezaan fahaman politik dan latar belakang sosial.
"Saya percaya dengan penyatuan ummah yang sebenar, banyak perkara kebaikan yang boleh kita lakukan demi kebajikan umat Islam dan kemajuan negara.
"Bawah kepimpinan saya, kerajaan PN akan lebih sensitif dan responsif terhadap suara NGO Islam," katanya pada Majlis Perjumpaan Khas Perdana Menteri Bersama Pemimpin-pemimpin NGO Islam, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, dan Yang Dipertua YADIM, Nasrudin Hassan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, pertemuan seumpama hari ini, amat penting untuk membolehkan kerajaan mendengar secara langsung suara hati umat Islam yang disampaikan pimpinan NGO Islam.
Malah, katanya, beliau sendiri mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pimpinan NGO Islam yang menyampaikan pandangan mengenai kedudukan Islam dan usaha memperkasakan institusi Islam serta meningkatkan syiar Islam di negara ini.
Pandangan itu termasuk betapa pentingnya kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan terus dipelihara; kemuliaan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua agama Islam dihormati; dan pelaksanaan undang-undang Islam sebagaimana termaktub dalam akta serta enakmen undang-undang Islam dipertahankan.
Selain itu, pendidikan Islam diperkasakan, perpaduan ummah diperkukuhkan, kemajuan ekonomi umat Islam melalui pengembangan institusi zakat dan wakaf diberikan keutamaan, serta isu lain yang menyentuh kepentingan umat Islam secara keseluruhan.
Muhyiddin berkata, ada dalam kalangan pimpinan NGO Islam yang bertemu dengan beliau, turut menyatakan kebimbangan mengenai cabaran besar sedang dihadapi umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia.
Beliau berkata, ia termasuklah pelbagai bentuk perkembangan baharu dalam pemikiran dan cara hidup masyarakat yang dilihat mengancam akidah serta akhlak umat Islam.
"Ini termasuklah pengaruh ideologi liberalisme dan sekularisme Barat yang tidak melihat agama sebagai sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia.
"Sebaliknya, mereka lebih mengagungkan kebebasan individu yang tidak terbatas sehingga melanggar hukum-hakam dan syariat Islam.
"Pengaruh ideologi ini mewujudkan pelbagai bentuk gerakan pada peringkat antarabangsa, termasuk juga di Malaysia, yang mendesak supaya pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang Islam dikaji semula.
"Ini merangkumi gerakan menuntut supaya sebahagian daripada undang-undang Islam dimansuhkan, dan amalan yang jelas menyeleweng daripada syariat Islam seperti LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) serta ajaran sesat dibenarkan," katanya.
