Dah Pesan Jgn Ziarah, Sekali Muncul Satu Kluster Baru di Pangsapuri Cheras. Ini Kata-Kata Dr Hisham

Kira-kira 10 hari umat Islam di negara kita menyambut Aidilfitri dengan penuh sederhana dan dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pelbagai kisah menarik, suka dan duka dikongsikan orang ramai yang buat pertama kali menyambut raya dengan perlu mematuhi Standard Operation Procedure (SOP).
Namun tidak semua mematuhinya. Malah ramai yang dikenakan kompaun gara-gara melanggar arahan PKPB tersebut.
Umum mengetahui, kunjung mengunjung bagi menyambut Aidilfitri adalah dilarang sama sekali dan hanya dibenarkan sesama keluarga terdekat sahaja.
Ini kerana kerisauan COVlD-19 akan merebak dan wujud pula kluster Aidilfitri. Dan ternyata kerisauan itu menjadi kenyataan.
Wujud kluster baru di Pangsapuri Cheras
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat satu kluster baharu di pangsapuri di Cheras, Kuala Lumpur, dipercayai berpunca daripada aktiviti kunjung-mengunjung ketika Aidilfitri.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes pertama kluster berkenaan dikenal pasti daripada saringan pelajar pusat tahfiz yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan KKM.
” Bagaimanapun, melalui penyiasatan dijalankan, tiada pelajar, guru atau kakitangan dari pusat tahfiz itu yang mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling.
” Sehingga kini, terdapat enam kes dalam kluster ini iaitu tiga kes membabitkan penghuni pangsapuri dan tiga kes lain di luar kawasan pangsapuri.
” Mereka dikesan melalui tindakan pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection),” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata, kes positif kluster itu membabitkan ahli keluarga dan rakan kepada kes pertama yang dikesan.
Menurutnya, punca jangkitan kluster itu masih dalam siasatan, namun besar kemungkinan penularan COVlD-19 berkaitan dengan aktiviti kunjung-mengunjung sebelum dan semasa Hari Raya Aidilfitri.
” Susulan itu, siasatan dan saringan kontak rapat bagi enam kes dijalankan. Setakat ini seramai 120 orang dikenal pasti dan disaring.
120 disaring, 6 kes positif
” Daripada jumlah itu, enam kes positif, 76 kes adalah negatif dan 38 masih menunggu keputusan.
” Selain tindakan Active Case Detection yang mula dilaksanakan di pangsapuri berkenaan, beberapa langkah kawalan penularan turut giat dijalankan.
” Antaranya pengasingan kontak dan aktiviti persampelan, aktiviti nyah kuman dan nyah cemar, hebahan pendidikan kesihatan berkaitan pencegahan jangkitan COVlD-19,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Noor Hisham mengingatkan masyarakat meskipun Syawal dan sambutan Aidilfitri secara lazimnya disambut selama sebulan, diadakan rumah terbuka dan perhimpunan secara beramai-ramai, masyarakat masih tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)
Dr Noor Hisham juga menegaskan aktiviti tersebut dilarang sama sekali dan orang ramai digesa supaya elakkan aktiviti kunjung-mengunjung.
P/S : Gambar atas adalah sekadar hiasan